"Nama Dah Kotor, Apa boleh buat" - Faiz Roslan



PETALING JAYA: Selebriti media sosial, Faiz Roslan terpaksa menyahaktifkan akaun Instagram miliknya gara-gara dikecam hebat susulan kontroversi video 'tidak puasa' yang tular sejak Isnin.

Namun Faiz memuat naik beberapa status di Twitternya pada Rabu malam memutuskan untuk mendiamkan diri buat sementara waktu.

"Saya mengambil keputusan untuk mendiamkan diri daripada media sosial sehingga raya.

"Ya, ada orang kata saya boleh larikan diri dekat media tapi bukan dekat netizen dan Allah. Saya tahu tu," katanya menerusi akaun Twitter @thefaizroslan.

Menyedari ramai yang marah dengan tindakan yang keterlaluan itu, Faiz akur dan menerimanya dengan hati terbuka.
"Saya akan berhenti membuat video untuk waktu yang lama. Now I got the lesson (Saya kini mendapat pengajarannya)," katanya.

Faiz kemudian memohon maaf sambil mengakui imejnya kini tercalar berikutan ramai yang melemparkan kata-kata cacian terhadapnya.

"Kita sesama manusia memaafkan satu sama lain. Saya minta maaf. Sudah banyak tweet yang buruk pasal saya, video saya di explore IG (Instagram), macam-macam lagi, well nama dah kotor, apa boleh buat. 

"Sekarang saya reda dan saya akan mendiamkan diri untuk sementara waktu," tambah Faiz di Twitter sebelum akaun tersebut turut dinyahaktifkan pada awal pagi Khamis.




Salah sorang pengguna Twitter, @Aleyrzli memberi respon dengan berkata: "Harap lepas kau menghilang tu... muncullah dengan perangai yang boleh membanggakan peminat kau (berkelakuan baik). Jangan menghilang tiba-tiba muncul dengan perangai teruk... jangan... itu saja. Yang baik dari Allah, yang buruk dari kita semua."

"Ambil masa untuk pulihkan diri anda. Dekatkan diri dengan perkara yang baik. Sentiasa bertanya pada diri sendiri apa yang telah anda lakukan dan mengapa orang marah anda. Saya percaya orang bukan sebenarnya marah anda tetapi mereka hanya mengambil berat tentang anda. Jadi, ambil perkara ini sebagai pengajaran. Lepas ni gunakan kuasa tular awak untuk kebaikan," kata @mysaranewrie.

Pada petang Isnin, Faiz menerusi video live Instagram secara terbuka mengaku dia tidak berpuasa.

"I tak puasa sebab I tak solat lima waktu pun. So kalau puasa pun macam rugi je. Korang puasa nak dapat pahala, tapi kalau tak solat (pahala) dikira kosong.

"Tengok 'perempuan' tu, makan je. Tapi jangan tunjuk sangat, kitorang ni dah tertunjuk, sebab kitorang pun macam tak hormati, so ambik lah kau," ujarnya sambil mengalihkan rakaman video kepada rakannya yang sedang makan secara terbuka.

Pada 1 Ramadan lalu, Faiz mengundang kontroversi apabila memuat naik video parodi bersama dua rakannya dengan tarian mengghairahkan dan berpakaian seksi menyerupai perempuan.