5 Cara Licik Syarikat Pengiklanan Digital Mencuri Dan Mendapatkan Data Peribadi Anda

Berbanding cara pengikiklan konvensional, cara pengiklanan secara digital dikatakan lebih berkesan dan kebiasaannya lebih murah. Antara syarikat gergasi yang menyediakan platform pengiklanan digital adalah Google (melalui servis Google Adwords) dan Facebook (melalui Facebook Ads).

Mengapakah cara pengiklanan digital ini lebih berkesan? Kerana ianya membolehkan pemilik bisnes menjadi lebih selektif dalam mengiklankan produk mereka kepada segmen bakal pelanggan tertentu. Sebagai contoh, di bahagian tetapan Facebook Ads anda boleh menyasarkan iklan anda untuk dipaparkan kepada kumpulan pengguna tertentu bergantung kepada pelbagai faktor seperti jantina, umur, kawasan tempat tinggal dan juga minat terdapat sesuatu perkara.

Ini merupakan satu kelebihan kerana anda hanya memaparkan iklan kepada pengguna yang benar-benar minat dengan produk yang dijual sahaja. Selain itu, kos pengiklanan juga dapat dijimatkan.

Kerana pentingnya bagi pemilik bisnes untuk mendapatkan informasi pengguna bagi tujuan pengiklanan, maka pelbagai cara licik yang digunakan oleh mereka untuk mendapatkan data peribadi pengguna sama ada secara beretika mahupun tidak. Malah industri melombong data pengguna juga dianggarkan bernilai berbilion ringgit setiap tahun. Berikut merupakan antara taktik licik yang diketahui pernah digunakan oleh syarikat pengiklanan atau syarikat yang menyediakan servis mendapatkan data peribadi pengguna.

1. Kamera dan Mikrofon Laptop
Satu ketika dahulu, viral gambar Mark Zuckerberg di hadapan laptopnya dimana jelas kelihatan beliau menutup kamera webcam dan dan mikrofon pada komputer tersebut dengan lapisan pita pelekat. Ramai netizen membincangkan tentang perbuatannya itu dan mengaitkannya dengan teori bahawa terdapat laman web atau aplikasi komputer yang menggunakan kamera dan mikrofon laptop pengguna secara senyap untuk merekod gambar.

Antara syarikat yang membangunkan aplikasi seperti ini adalah Real Eyes melalui teknologi "Emotional Analytics". Teknologi ini membolehnya mengetahui ekspresi muka pengguna apabila melihat iklan video yang dipaparkan dilaman web. Antara pelanggan utamanya adalah syarikat-syarikat besar seperti Coca-Cola, IKEA, McDonald's dan banyak lagi.

2. Aplikasi Telefon Pintar
Dalam zaman teknologi masa kini, telefon pintar adalah antara barang yang wajib dibawa oleh setiap manusia tidak kira kemana sahaja. Maka tidak hairanlah ianya merupakan antara "alat" penting bagi pengiklanan untuk mendapatkan maklumat sulit anda.

Ada segelintir aplikasi yang merakam perbualan anda secara sulit. Ada juga aplikasi yang secara jelas menyatakan bahawa perbualan anda akan direkod tapi pengguna seringkali tidak perasan kerana ianya dinyatakan pada bahagian bawah polisi menggunakan aplikasi mereka. Kebanyakan pengguna hanya menekan butang "Agree" tanpa membaca secara teliti polisi tersebut.

3. WiFi Percuma
Kebanyakan kedai mahupun pusat membeli belah menyediakan servis WiFi percuma kepada pelanggan mereka. Selain membolehkan pelanggan meluangkan lebih banyak masa di kedai mereka, sambungan WiFi ini juga boleh digunakan untuk mengetahui maklumat mengenai pengguna.

Bagi memudahkan pengguna, kebanyakannya tidak memerlukan pengguna untuk log masuk. Antara maklumat penting yang boleh diperolehi daripada pelanggan adalah minat dan kecenderungan pengguna terhadapa sesuatu perkara. Dari segi sekuriti pula, capaian WiFI seperti ini adalah kurang selamat kerana terdapat risiko anda digodam oleh pengguna lain. Sila baca tips kami 3 Tips Menggunakan WiFi Percuma dengan Selamat untuk memastikan anda tidak digodam.

4. Rekod Kesihatan Hospital dan Farmasi
Rekod kesihatan pesakit merupakan data yang sangat sulit. Apa sahaja maklumat kesihatan anda adalah rahsia antara anda dan doktor yang merawat anda. Malah, doktor juga tidak dibenarkan menceritakan rekod kesihatan anda kepada orang lain sesuka hati. Tapi, adakah benar rekod kesihatan seseorang pesakit itu begitu sulit dan rahsia?

Baru-baru ini, laman CNBC ada mendedahkan Facebook pernah mempunyai perancangan rapi untuk mendapatkan data pesakit daripada hospital. Walaupun data tersebut tidak menyebut secara spesifik nama pesakit, dengan menggunakan kaedah cross reference, Facebook berupaya untuk memadankannya dengan nama pengguna laman sosial itu. Semuanya terdedah apabila skandal Cambridge Analytica terbongkar tidak lama dahulu.

5. Teknologi Pengecaman Wajah
Teknologi pengecaman wajah merupakan antara teknologi terbaru bagi meningkat sekuriti pengguna internet dan produk teknologi. Boleh dikatakan kebanyakan telefon pintar baru didatangkan dengan teknologi ini untuk membolehkan pemilik telefon membuka telefon tanpa menekan kata kunci.

Dalam dunia pengiklanan, teknologi ini membantu pemilik bisnes mengenalpasti maklumat penting seperti umur, jantina dan bangsa penggunanya. Malah, laman e-perdagangan Amazon juga ada membangunkan teknologi pengecaman wajahnya sendiri yang diberi nama “Rekognition”. Terdapat ura-ura mengatakan Amazon sedang berusaha menjual teknologi ini kepada pasukan polis di Amerika Syarikat bagi memudahkan mereka mengesan penjenayah.