Zalfa Zain dikecam kerana bertanya soalan lucah



PELAKON baharu iaitu Zalfa Zain memohon maaf selepas tersebarnya video temuramahnya dengan beberapa individu bertanyakan soalan berunsur lucah untuk mempromosi sebuah produk.

Zalfa atau nama sebenarnya Norzafifah Mohd Zain, 25, berkata, video berkenaan dirakam lebih setahun lalu ketika dia masih aktif sebagai pelakon iklan.

"Saya mengakui kesilapan dan dari lubuk hati saya minta maaf kerana menerima tawaran berlakon iklan itu. Ia sudah setahun lalu dan saya tidak pasti mengapa sekarang ia menjadi tular dan dikongsi di media sosial.

"Saya terkejut sejak minggu lalu ia dikongsi dan laman sosial saya menjadi sasaran netizen yang menganggap saya menjatuhkan maruah wanita,"

Zalfa bersama beberapa individu yang ditemuramah dalam video berkenaan.



Zalfa berkata demikian ketika mengulas tentang video temuramahnya dengan beberapa individu yang bertanyakan soalan berkaitan aset wanita menerusi segmen Barang Baik.

Lebih dilihat kurang sopan apabila dia bertanyakan kepada seorang lelaki mengenai bentuk payudara dan punggung bagaimana disukai lelaki berkenaan terhadap wanita.

Menerusi video berdurasi 15 minit itu, pelakon Mona Lisa ini berkata dia terpaksa mengeluarkan pertanyaan-pertanyaan berunsur lucah atas permintaan klien.
Tambahnya, individu yang ditemuramah itu juga merupakan pelakon iklan yang dibayar untuk memberikan jawapan yang telah dirancang khas.


Zalfa (kiri) turut membintangi drama Mona Lisa bersama Zara Zya.


"Ketika penggambaran itu saya diminta untuk bertanya beberapa soalan biasa, namun selepas itu mereka minta saya tanya perkataan-perkataan tanpa berlapik.

"Saya setuju kerana beberapa individu yang saya tanya itu juga talent yang dibayar untuk berlakon dalam iklan itu. Pada waktu itu saya memang tidak mahu tetapi terpaksa kerana sudah dibayar," ujarnya.

Selain itu, Zalfa tidak menafikan ada pihak tertentu cuba memalukan dirinya dengan menyebarkan kembali video berkenaan.

Pelakon yang membintangi filem Badang ini juga mengakui perkara ini menjadi pengajaran buat dirinya agar lebih berhati-hati memilih tawaran.

"Dulu saya akui tidak fikir panjang dan buat itu sebab duit sahaja. Saya tidak sedar perkara itu boleh merosakkan kerjaya saya yang baru bertapak ini.
"Sekali lagi saya benar-benar minta maaf kepada pihak yang tersinggung dengan video berkenaan," ujarnya.

Zalfa turut terlibat dalam drama Bila Aidil Ada Fitri yang sedang ditayangkan di Astro Warna yang turut dilakonkan oleh Engku Ismail dan Siti Saleha.