Sejarah Klinik Maha : Klinik Yang Diasaskan Dr. Mahathir Mohamad

Umum mengetahui bahawa Perdana Menteri Malaysia yang ke-7, Tun Dr. Mahathir merupakan seorang pegawai perubatan doktor pada mudanya sebelum menyertai bidang politik.

Dr. Mahathir berkhidmat sebagai doktor perubatan di hospital kerajaan untuk beberapa ketika. Minat dengan perniagaan sejak kecil, beliau telah menubuhkan klinik sendiri yang diberi nama Klinik Maha pada tahun 1957, klinik persendirian pertama milik orang Melayu di Kedah.

Klinik Maha memang sangat tidak asing bagi penduduk-penduduk Alor Setar. Klinik ini pada asalnya terletak di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar tetapi kemudiannya berpindah ke Jalan Sultan Badlishah, berdekatan dengan Ibu Pejabat UMNO Kedah.

Ini kerana ia lebih hampir dengan Sungai Kedah, memudahkan pesakit yang datang menaiki perahu atau sampan.

Kini, selepas 61 tahun, Klinik Maha masih di tempat yang sama dan masih beroperasi.

Seorang doktor yang sangat prihatin dan pemurah
Menurut mereka yang pernah mendapat rawatan di Klinik Maha, pemilik klinik ini merupakan seorang yang sangat istimewa dan tidak dapat dilupakan. Zainol, 61, dari Kubang Pasu, seorang pemandu bas yang hanya berpendapatan RM3.50 sehari dan bekas pesakit di Klinik Maha menceritakan pengalamannya mendapatkan rawatan tanpa sebarang bayaran.

Selain daripada diberikan rawatan peruma, Zainol juga memberitahu bahawa penduduk sekitar terutamanya orang kurang upaya, warga emas dan mereka yang berpendapatan rendah juga diberikan layanan yang istimewa oleh Dr. Mahathir.

Tambah Zainol lagi, Dr. Mahathir juga kerap mengajak warga emas di kampung-kampung yang mengalami masalah kesihatan supaya mengunjungi klinik beliau untuk mendapatkan rawatan.

"Dr. Mahathir selalu berkata jika ada orang-orang tua yang sakit bawalah ke sini, beliau tidak akan mengenakan caj kerana mahu tolong secara ikhlas," jelas Zainol.

Zainol yang tinggal di Kubang Pasu menceritakan beliau terpaksa menaiki basikal sejauh 33 kilometer ke Alor Setar, bersama isteri dan anak, jika mengalami masalah kesihatan. Kesanggupan itu disebabkan oleh mahu mendapatkan rawatan yang terbaik daripada Dr. Mahathir.


Ismail Hussin, seorang lagi bekas pesakit di klinik ini tidak dapat melupakan rawatan yang diterima daripada Dr. Mahathir. Beliau terpaksa menaiki sampan hampir 2 jam melalui dua sungai iaitu Sungai Pasir dan Sungai Anak Bukit hanya untuk mendapatkan rawatan di Klinik Maha.

Ismail juga memberitahu bahawa layanan yang diberikan oleh Dr. Mahathir sangat sukar ditandingi oleh doktor zaman sekarang. Ia termasuklah diberikan rawatan pemeriksaan menyeluruh, walaupun pesakit hanya mengadu demam biasa.

Pembantu Dr. Mahathir di Klinik Maha


Klinik Maha kini beroperasi di bawah kendalian Dr. Mohamed Yacob Dawood, yang pernah bekerja dengan Dr. Mahathir. Sebelum bekerja di klinik ini, Dr. Mohamed Yacob merupakan pegawai perubatan di Hospital Kuala Lumpur. Namun, setelah dipelawa bekerja oleh Dr. Mahathir sendiri pada tahun 1972, beliau memberikan notis berhenti kerja 24 jam.

Disebabkan notis berhenti kerja itu tidak cukup sebulan, Dr. Mohamed Yacob terpaksa membayar gaji sebulan kepada majikan, namun ia dibayar oleh Dr. Mahathir malah menawarkan gaji yang lebih baik.

"Saya tahu beliau (Dr. Mahathir) seorang yang baik dan jujur, oleh itu saya mengambil keputusan untuk menjadi pembantunya di Klinik Maha," jelas Dr. Mohamed.

Dr. Mohamed Yacob juga mengakui bahawa Dr. Mahathir tidak mengenakan caj kepada pesakit yang tidak mempunyai wang atau dari golongan miskin. Bukan itu sahaja, Dr. Mahathir pula akan memberikan wang kepada pesakit untuk dijadikan tambang pulang ke rumah.

Majoriti orang dari kampung dan warga emas gemar mengunjungi Klinik Maha kerana pada ketika itu ia merupakan satu-satunya klinik milik orang Melayu di Kedah. Malah, terdapat juga pesakit yang datang dari negeri Perlis.

2 tahun bersama Dr. Mahathir, Dr. Mohamed memberitahu majikannya itu masuk kerja sebelum matahari terbit dan pulang selepas matahari tenggelam.

Datang bukan tujuan kesihatan


Disebabkan ketika itu Dr. Mahathir terkenal dengan karier politiknya dan digelar sebagai "Dr.UMNO", terdapat mereka yang datang ke klinik bukan untuk tujuan rawatan tetapi politik.

Selain itu, Dr. Mahathir juga kerap masuk ke kampung-kampung jika dipanggil, malah terpaksa menumpang basikal atau motosikal penduduk setempat jika laluan ke rumah pesakit tidak dapat dimasuki menggunakan kereta.

Setelah memenangi kerusi Parlimen Kubang Pasu pada PRU tahun 1974 dan dilantik menjadi Menteri Pendidikan pada ketika itu, Dr. Mahathir terpaksa berhenti daripada menjadi pegawai perubatan dan menumpukan tugasnya sebagai menteri kabinet.

Tugas mengendalikan Klinik Maha diambil alih oleh Dr. Mohamed Yacob sejak itu.